Kehidupan peribadi dan kerjaya Harvey_Malaiholo

Menyingkap di sebalik kehidupannya, Harvey adalah anak seorang pelaut manakala ibunya bekas penyanyi berkumpulan Titaley Sisters.

Ketika kecil, beliau sudah didedahkan dengan muzik jazz dan pernah menyanyi bersama ibunya, Maudy Titelay. Ayahnya, Daniel Benjamin Malaiholo pula selalu memberi dorongan dengan menghadiahkan kaset dan LP (piring hitam) penyanyi terkenal seperti Frank Sinatra dan Michael Jackson.

Suara dan cara nyanyian Harvey dikatakan ada sedikit persamaan dengan mendiang Broery Marantika namun dia akhirnya berjaya membentuk imej sendiri dengan imej kumis yang tebal. Malah kumis itu dianggap membawa tuah kerana ia sudah menjadi trademark beliau.

Apa yang jelas untuk berada pada tahap ini, memanglah sukar. Anak sulung tiga beradik ini kerap menyertai pertandingan nyanyian sejak hingusan lagi. Selain pertandingan, Harvey sering menyertai festival lagu popular peringkat nasional namun rezeki masih belum berada di pihaknya ketika itu.

"Saya pernah beberapa kali gagal dalam pertandingan nyanyian. Mungkin ketika itu masih muda dan belum ada cukup pengalaman," ungkap Harvey.

Pun begitu, sekitar tahun 1970-an, Harvey mula berjinak-jinak dengan rakaman album. Beliau lebih popular dan dikenali menerusi The Big Five di kalangan pemuzik dan karyawan Indonesia. Sementara itu, pada awal kemunculan, Harvey terpaksa bersaing dengan Broery Marantika, Mergie Segers, Trio Bimbo, Dedy Damhudi dan Anna Mantovani.

Tanpa diduga, selapas 10 tahun berjuang dan bersabar, Harvey mula popular sekitar 1980-an. Sebagai ganjaran, tanpa diduga, beliau menggondol juara Bintang Radio & TV Remaja tahun 1976 anjuran Batik Iran Tirta.

Di sebalik kejayaan beliau, ada peristiwa yang tidak boleh dilupakan. Harvey sememangnya bertuah dikurniakan ayahanda dan ibu yang cukup memahaminya. Pernah suatu ketika, ayah dan ibunya terpaksa berhutang demi untuk membeli baju yang akan dipakainya dalam suatu pertandingan. Pengorbanan keluarganya berbaloi kerana Harvey berjaya menjadi johan dan terus menjadi penyanyi popular Indonesia.

"Keluarga adalah harta saya. Sejauh mana pergi, saya tetap akan kembali bersama mereka," katanya.

Kini, Harvey lebih selesa bergelar usahawan dan menerima gelaran pemilik rumah. Pun begitu, dia masih mengadakan konsert dan showcase bersama bintang ternama seperti Kris Dayanti dan Ruth Sahanaya.

Menjadi adat resam dunia hiburan, Harvey juga pernah digosipkan bercinta dengan artis seperti Refika Duri dan Andi Meriem Matalatta.

Pun begitu, ayah kepada dua putra, Joshua Benjamin dan Benjamin Joshua bahagia bersama isteri yang juga pengurusnya, Lolita. Putera sulung, Joshua lebih selesa menjadi pemain olahraga sementara Benjamin pula masih lagi menuntut di sekolah.